KLANG – Seorang wanita menempuh detik cemas apabila terperangkap dalam kereta Perodua Aruz dipandunya yang ditenggelami banjir di Jalan Meru, Taman Perindustrian Meru di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.44 pagi.
Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikerah dalam operasi menyelamat itu.
“Pemeriksaan mendapati sebuah kereta terperangkap dalam limpahan air sehingga mencecah bumbung di jalan berkenaan sedalam kira-kira 1.3 meter. Pemandu wanita berusia 57 tahun itu bagaimanapun berjaya keluar dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamadul Ehsan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan banjir itu turut surut.
Terdahulu, beberapa lokasi di sekitar daerah daerah ini dan Shah Alam dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan. – KOSMO! ONLINE