BARCELONA – Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez mengakui cukup berminat untuk menandatangani khidmat Lionel Messi selepas penyerang sensasi Argentina itu sah bakal meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) musim ini.
Messi yang telah berhijrah dari kelab Barcelona ke PSG secara percuma apabila kontraknya berakhir pada musim 2021 masih berteka-teki dengan status masa depannya selepas dilaporkan mendapat banyak tawaran lumayan.
Difahamkan, pengurusan tertinggi Barcelona sudah pun mengemukakan tawaran kepada Messi untuk pulang ke Camp Nou tetapi masih lagi menunggu lampu hijau selepas dibelenggu masalah kewangan ketika ini.
Menurut Xavi, pemain berusia 36 tahun itu mengesahkan bakal membuat pengumuman rasmi mengenai masa depannya pada minggu depan selepas tugas bersama PSG berakhir secara rasmi minggu ini.
“Saya difahamkan dia akan membuat pengumuman rasmi mengenai hala tuju kariernya minggu depan. Buat masa ini, kita hanya boleh buat spekulasi tetapi biarlah dia yang menentukan segala keputusan nanti.
“Kami mahu menghormati kontraknya yang masih ada bersama PSG sebelum dapat membuat ulasan lanjut. Jika dia mahu ke sini, itu adalah haknya dan situasi sama berlaku jika dia mahu berhijrah ke mana sahaja di dunia nanti,” katanya.
Selain Messi, skuad The Catalans juga sedang bergiat untuk memburu tiga pemain Manchester City, seperti Joao Cancelo, Ilkay Gundogan dan Bernardo Silva pada jendela perpindahan musim ini.
Barcelona yang berjaya menjuarai La Liga akan mengakhiri kempen musim ini dengan perlawanan terakhir liga bertemu Celta Vigo awal pagi esok.
– AGENSI