HARGA tas tangan kulit berjenama yang semakin meningkat menjadikan pengguna perlu lebih bijak berbelanja bagi memastikan pembelian mereka berbaloi.
Harga tas tangan biasanya ditentukan menerusi jumlah dan jenis kulit serta bahan-bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut.
Baru-baru ini, seorang lelaki tular menerusi platform TikTok selepas videonya ‘menjahanamkan’ berpuluh-puluh tas tangan berjenama menjadi viral.
Volkan Yilmaz atau lebih dikenali sebagai Tanner Leatherstein tular di internet selepas tindakannya sengaja menjahanamkan beg kulit berjenama sebelum memberikan ulasan berkenaan produk tersebut.
Beg kulit daripada jenama-jenama terkenal seperti Gucci, Bottega Veneta, Louis Vuitton (LV) dan Dior digunting oleh jejaka itu, sebelum permukaan kulit itu dihiris atau dibakar untuk dinilai kualitinya.
Sekali lihat, mungkin ada menyangka bahawa tindakan lelaki berusia 36 tahun dari Turkiye itu adalah satu gimik.
Hakikatnya, tindakan jejaka yang merupakan pembuat barangan kulit itu adalah untuk memberikan gambaran lebih jelas kepada pengikutnya tentang kualiti barangan berjenama tersebut.
Ia seterusnya memberi manfaat kepada orang ramai untuk lebih bijak menilai kualiti barangan berjenama dengan harga yang dibayar.
“Saya dapati ramai orang mendapat manfaat daripada video-video saya.
“Ia juga sebagai satu bentuk pemasaran berkesan untuk jenama barangan kulit milik saya sendiri iaitu Pegai.
“Menerusi ilmu yang dikongsikan, mereka akan membeli produk kulit saya,” katanya.
Dalam setiap video dimuat naik, Yilmaz pada awalnya akan menunjukkan tas tangan yang akan dirosakkan, sebelum mula menggunting barangan tersebut.
Dia kemudian akan menyapu cecair acetone pada permukaan kulit tersebut sebelum mengikisnya dengan menggunakan besi.
“Antara perkara yang saya akan lakukan untuk menilai barangan kulit ini adalah dengan menyapu acetone. Ia digunakan untuk menentukan kualiti produk kulit berkenaan.
“Selepas mengikis lapisan kulit itu, saya dapat melihat sama ada tas tangan tersebut menggunakan bahan berkualiti tinggi atau biasa dengan kemasan kulit tebal,” katanya.
Selain acetone, Yilmaz juga akan membuat ujian arang apabila dia akan membakar satu serpihan kecil kulit bagi menentukan jenis kulit digunakan.
“Apabila sesebuah jenama mendakwa produk mereka dibuat dengan menggunakan kulit vegan, saya akan menilainya dengan membakar satu serpihan kulit yang sudah dipotong. Ini kerana jenis kulit yang digunakan menghasilkan sisa arang yang berbeza-beza,” ujarnya.
Akui Yilmaz, kesemua beg berjenama yang dirosakkan itu dibeli dengan menggunakan wangnya sendiri.
“Saya sedar bahawa tindakan ini memerlukan belanja besar. Namun pada masa akan datang, pengikut saya akan lebih berminat terhadap jenama saya,” katanya.