PUTRAJAYA – Sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023) akan memanfaatkan tempoh lima hari diberikan pihak berkuasa Nepal bermula hari ini bagi meneruskan misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim.
Pasukan itu tiba dengan helikopter di Lukla, Nepal sebentar tadi bersama dua dron berteknologi tinggi yang bakal digunakan untuk menjejaki Muhammad Hawari.
Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak ketika dihubungi berkata, mereka sepatutnya tiba di Kem Dua semalam, namun ditangguhkan akibat keadaan cuaca buruk.
Beliau berkata, dari Lukla pasukannya akan bergerak ke Pheriche dan seterusnya ke Everest Base Camp (EBC) untuk mengambil beberapa peralatan logistik sebelum ke Kem Dua hari ini.
“Penggunaan dua dron berteknologi tinggi menjadi sandaran sepanjang SAR itu kali ini.
“Sebaik tiba di Lukla tadi, suasana di lapangan terbang itu sepi dan hanya beberapa penduduk tempatan dilihat berada di kawasan itu selepas pihak berkuasa Nepal menutup aktiviti pendakian bermula Isnin lalu,” katanya.
Katanya, misi SAR itu akan dibantu oleh seorang lagi pendaki ME2023, Tiong Tiong Ling Yang, 30, dan Pengurus Pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30.
Azim berkata, dron itu akan dikendalikan dengan bantuan pakar bidang fotografi, malah beberapa malim gunung turut dilantik dan bersiap sedia jika menemui petunjuk barangan digunakan Muhammad Hawari. – KOSMO! ONLINE