GOPENG – Lelaki warga Nepal yang dilaporkan hilang ketika berenang di lombong belakang sebuah pasar raya di sini semalam, ditemukan lemas pagi ini.
Mayat lelaki dikenali Seroj Senoli, 26, itu dijumpai oleh pasukan penyelamat pada pukul 9.45 pagi kira-kira 15 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan setelah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.37 malam.
Katanya, berdasarkan maklumat saksi iaitu rakan mangsa, lelaki itu yang dipercayai mabuk telah berenang ke tengah lombong sebelum dilihat tenggelam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng diatur gerak ke lokasi kejadian bagi membuat carian sejurus dimaklumkan insiden itu.
“Operasi yang disambung pagi ini dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Ipoh dan Kuala Kangsar telah menemukan mangsa di dasar lombong iaitu pada jarak 15 meter dari tebing,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa segera dibawa naik ke tebing dan lelaki itu disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ini telah disertai oleh 21 anggota termasuk dibantu pasukan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE