Setiap orang ada kisah tersendiri dengan rakan baik, begitu juga dengan gadis Pesona Ahad minggu ini, Farisha Fadzil, 20.
Dia tidak menyangka rakan baik yang dikenali beberapa tahun itu dan dianggap seperti saudara sendiri sanggup bertindak ‘menikam’ dari bekakang kerana cemburu dengan kelebihan yang ada pada dirinya.
Biarpun semua itu amat pedih untuk ditelan, namun penuntut peringkat diploma Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan itu menjadikannya sebagai pengajaran hidup untuk lebih berhati-hati memilih rakan pada masa depan.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis ini berkongsi serba sedikit mengenai dirinya.
KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai diri saudari?
Farisha: Saya anak ketiga daripada empat adik-beradik dan merupakan pelajar sepenuh masa di sebuah institusi pengajian tinggi awam.
Saya kini memberikan tumpuan kepada pelajaran kerana ia merupakan wadah penting untuk menempuh masa depan dengan lebih bermakna dalam mengejar cita-cita dan impian hidup.
Biarpun begitu, sebaik tiba cuti semester, saya mengambil peluang dengan bekerja bagi menambah pengalaman dan menyelami sendiri kepayahan ibu bapa mencari rezeki untuk membesar dan menyekolahkan saya.
Sejak kecil, saya amat meminati dunia fesyen dan kecantikan. Oleh sebab itu, saya mengambil peluang dengan menjadi model bagi beberapa produk tertentu, selain berkecimpung dalam dunia lakonan secara sambilan.
Bagaimana Farisha membahagikan masa antara belajar dan bekerja?
Pada awalnya agak susah, tetapi selepas beberapa bulan ia tidak menjadi satu bebanan lagi kepada saya.
Apa yang penting, ketika belajar perlu memberikan sepenuh tumpuan terhadap apa yang diberikan pensyarah kepada kita, begitu juga ketika bekerja.
Dalam hal ini, saya mendisiplinkan diri untuk menyiapkan terlebih dahulu tugasan yang diberikan pensyarah.
Berkaitan dengan menjadi model, biasanya saya bekerja pada waktu cuti.
Perancangan Farisha pada masa hadapan?
Saya berminat untuk menyertai pertandingan Dewi Remaja sebab memang minat sejak zaman dahulu lagi.
Bagi saya, Dewi Remaja ini bukan sekadar rancangan bias,a tetapi dapat melahirkan produk-produk berkesan.
Dari kecil saya memang minat nak jadi model atau pelakon terkenal. Insya-Allah, kalau ada rezeki saya akan bermula daripada bawah sebab saya percaya setiap orang ada rezeki masing masing.
Rahsia dalam penjagaan diri untuk kekal yakin?
Bagi saya, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan tidak memikirkan sangat pendapat negatif yang diberikan leh orang lain.
Selain itu, kita hendaklah bersyukur dengan anugerah yang dikurniakan Allah. Saya selalu percaya, kalau minda kita tidak berfikiran negatif, hidup kita lebih mudah dalam segala hal.
Filem atau drama yang pernah Farisha bintangi?
Saya pernah menjadi pelakon tambahan dalam cerita Scammer sebagai tunang kepada pelakon Jay Iswazir. Pernah juga diberi peluang berlakon bersama pelakon terkenal tanah air, Tony Eusoff dan Amyza Aznan dalam drama bersiri Dukun Diva dan Roxy.
Pernahkah dilamar jenama terkenal untuk dijadikan model?
Baru-baru ini, saya berpeluang bekerjasama dengan Bonia Malaysia. Saya juga pernah menjadi model untuk Kurunglab, Itsmachino, Aurawhite dan Loccitane Malaysia.
Lelaki idaman Farisha?
Saya tidak cerewet sangat dalam hal ini, tetapi perlukan seseorang yang boleh memberi bimbingan ke jalan yang baik, sentiasa sokong apa yang saya buat, selain rajin dan bijak.
Di samping itu, penyabar dan sentiasa melihat ke arah masa depan juga menjadi kriteria dalam memilih pasangan.
Pengalaman pahit dalam hidup Farisha?
Jangan mudah percaya orang walaupun kawan rapat kita.
Bagi saya, kawan rapat tak semestinya dipanggil sahabat sebab pernah dikhianati kawan baik sendiri.
Dahulu saya selalu menceritakan kejayaan dikecapi, tetapi perasan yang dia tak berapa sudi mendengar dan selalu potong percakapan.
Tetapi kalau waktu saya bersedih, dialah yang paling suka lihat saya jatuh.
Di hadapan saya, dia bermanis mulut, tetapi di belakang sanggup menceritakan keburukan saya. Itu yang menyebabkan saya berputus arang dengannya.