LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya kini berada di puncak prestasi menjelang aksi peringkat kumpulan Liga Europa menentang kelab dari Sweden, Molde di Emirates awal pagi esok.
Kata Arteta, kemenangan sensasi 1-0 ke atas seteru tradisi, Manchester United pada awal pagi Isnin lepas telah melonjakkan tahap keyakinan buat pasukannya untuk terus tampil cemerlang dalam meraih kemenangan ketiga Liga Europa musim ini.
“Kami telah beraksi dengan cukup baik sejak beberapa perlawanan yang lepas tetapi kemenangan yang direkodkan ke atas United sememangnya memberi petanda positif buat pasukan untuk mengekalkan rentak konsisten.
“Mengenai saingan Liga Europa, saya harap kami mampu layak lebih awal ke peringkat kalah mati.
“Pasukan sudah mencatat dua kemenangan sebelum ini dan saya harap keputusan itu dapat diteruskan pada aksi bertemu Molde,” katanya.
Sementara itu. pengendali kelahiran Sepanyol itu turut memberi bayangan bakal menggunakan pemain muda pada pada aksi menentang Molde dengan merehatkan beberapa tonggak utama seperti Gabriel dan Thomas Partey.
“Partey dan Gabriel telah bekerja keras sejak beberapa perlawanan lepas dan saya begitu gembira dengan prestasi mereka kerana tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan.
Namun, kedua-dua mereka mungkin akan direhatkan pada aksi menentang Molde,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Arteta telah menaikkan pangkat tiga pemain remaja dalam skuad utama The Gunners dalam baki kempen Liga Europa musim ini, Zane Monlouis, Omari Giraud-Hutchinson dan Charlie Patino. – AGENSI