PETALING JAYA – Kakak pelakon dan usahawan Neelofa, Noor Nabila mendedahkan mengenai kriteria lelaki idaman yang menjadi pilihan adiknya.
Dalam satu video yang dimuat naik di laman YouTube Rosix & Bella, Noor Nabila memperincikan bahawa Neelofa merupakan seorang yang tegas dan berpendirian tetap berkaitan cinta.
“Kalau bab bercinta Neelofa memang sangat tegas,” kata Nabila.
Kata-kata itu kemudiannya disampuk oleh rakan baiknya, Rosix yang mendedahkan bekas pengacara rancangan MeleTOP itu turut mengimpikan seorang lelaki yang boleh membimbingnya ke syurga.
Menerusi video berbentuk soalan dan jawapan itu, Noor Nabila memberitahu, adiknya amat menyukai lelaki berjambang dan menyampaikan tazkirah pada setiap malam Jumaat.
Neelofa yang turut berada di sebelah kakaknya di dalam video berkenaan dilihat hanya ketawa tanpa menafikan perkara tersebut.
Menerusi video berdurasi 17 minit 45 saat itu, selebriti berusia 31 tahun tersebut disifatkan sebagai seorang yang sangat komited dalam karier dan bekerja keras.
Dalam nada berseloroh, bekas isteri pelakon, Sharnaaz Ahmad itu sempat mengusik Neelofa tidak pandai memasak.
“Dia tidak tahu masak, tetapi sekarang sudah pandai. Dia juga pernah tidur dengan solekan.
“Dia bukan seorang paling pembersih dan sangat menyayangi anak saudaranya,” dedah Noor Nabila.
Nama Neelofa menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini selepas didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan pendakwah bebas, PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd. Ismail, 25.
Difahamkan, pada Ahad lalu, keluarga Riz menghantar rombongan merisik Neelofa sekali gus menjawab spekulasi hubungan cinta antara mereka berdua.
Pasangan tersebut dikhabarkan bakal bernikah pada Mac tahun hadapan.