LONDON – Pasukan Manchester United perlu merantai gerakan penyerang sensasi Manchester City, Erling Haaland sekiranya mahu mencerahkan peluang untuk menjuarai trofi Piala FA menjelang aksi final di Stadium Wembley malam ini.
Peringatan tersebut disuarakan oleh tonggak pertahanan, Raphael Varane yang percaya kelibat Haaland boleh menjadi duri dalam daging dalam misi memastikan The Red Devils menjulang trofi kedua selepas Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini.
Kata Varane, penyerang antarabangsa Norway berusia 23 tahun itu sememangnya berada dalam kelas tersendiri selepas meledak 52 gol sepanjang musim ini tetapi pada masa sama berharap barisan pemain perlu risau dengan ancaman yang bakal diberikan.
“Saya rasa kita tidak perlu takut dengan kelibat Haaland tetapi harus diakui dia berada pada tahap terbaik musim ini dengan menjaringkan banyak gol buat pasukan lawan.
“Namun, saya percaya kekuatan City tidak hanya terletak kepada seorang pemain dan jika dia bagus, pastinya cabaran getir buat kami untuk terus berjuang dalam usaha melakar kemenangan nanti.
“Secara jujur, saya mahu semua pemain memberikan tumpuan penuh seratus peratus di atas padang sepanjang 90 minit perlawanan dengan tidak membuka ruang buat jentera serangan lawan melakukan asakan.
“Di atas kertas, kita boleh lihat Haaland dan Kevin de Bruyne sebagai senjata utama mereka dalam usaha memburu gol tetapi saya optimis barisan pertahanan kami sudah bersedia untuk menghalang gerakan mereka,” katanya.
Sementara itu, pengendali United, Erik Ten Hag dilihat agak pening kepala selepas kehilangan enam tonggak utama pada perlawanan final menentang The Citizens nanti.
Antara pemain yang bakal diketepikan adalah Donny van de Beek, Lisandro Martinez, Marcel Sabitzer, Antony, Anthony Martial dan Luke Shaw. – AGENSI