MADRID – Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui bahawa saingan Liga Juara-Juara musim ini sangat mencabar buat pasukannya biarpun berjaya menundukkan Inter Milan 3-2 di Estadio Alfredo de Stefano awal pagi semalam.
The Galacticos berjaya mendahului perlawanan dengan dua gol tetapi mereka cemas selepas Inter menyamakan kedudukan menerusi Lautaro Martinez dan Ivan Perisic.
Bagaimanapun, mereka berjaya memastikan tiga mata berharga apabila Rodrygo memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh benteng Inter untuk meledak gol kemenangan.
“Kami berdepan perlawanan yang cukup sukar. Ini adalah tahap saingan Liga Juara-Juara, ia sememangnya tidak mudah dan menjanjikan cabaran yang besar.
“Saya sangat gembira apabila kami akhirnya berjaya meraih tiga mata penuh dengan kemenangan ini,” katanya.
Keputusan tersebut menyaksikan saingan Kumpulan B terus terbuka apabila satu lagi perlawanan menyaksikan Shakhtar Donetsk tewas mengejut 0-6 kepada Borussia Monchengladbach.
Jaguh Jerman itu memimpin saingan dengan lima mata manakala Real dan Shakhtar berkongsi empat mata dan Inter di kedudukan tercorot dengan dua mata.
“Bagaimanapun, kami masih berdepan situasi sukar apabila terpaksa ke Itali pada aksi berikutnya untuk menentang Inter dan mereka pastinya tidak akan memberikan laluan sukar,” jelas Zidane. – AFP