PETALING JAYA – “Hari ini Allah takdirkan kami bersama kembali dalam wadah Kerajaan Perpaduan Malaysia. Itulah takdir Ilahi yang penuh dengan hikmah dan rahsia yang tidak tergapai dek pemikiran”.
Demikian ulasan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung pertemuannya dengan bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, mereka berbual hampir satu jam nengenai pelbagai isu dan agenda pendidikan rakyat di Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pagi ini.
“Dulu kami sama-sama menjadi penyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM). Kami berbeza haluan politik. Saya keluar UIA untuk aktif dengan UMNO, manakala beliau keluar UIA untuk terlibat dengan PPBM sebelum masuk PKR.
“Walau haluan berbeza, kami tetap berpegang kepada prinsip dan idealisme yang sama bahawa perjuangan ini untuk ummah dan demi agama,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mengulas lanjut perkembangan tersebut, Asyraf Wajdi menjelaskan sebab itu Nabi Muhammad S.A.W menekankan ukhuwwah merentasi fikrah, bersahabat mahupun bermusuhan mesti bersederhana.
“Hari ini mungkin lawan, esok siapa tahu menjadi kawan dan begitulah sebaliknya. Terima kasih sahabatku Dr. Maszlee Malik atas kunjungan ke pejabat saya di Pejabat UMNO WTC,” katanya. – KOSMO! ONLINE