LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui impian pasukan untuk mencatat gelaran trebel pada musim ini bakal musnah sekiranya gagal menewaskan seteru tradisi, Manchester United pada aksi final Piala FA di Stadium Wembley malam ini.
Sebagai rekod, skuad The Citizens berada dalam landasan terbaik untuk melengkapkan gelaran trebel selepas menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bakal mengharungi final Piala FA serta Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Malah, City bakal memahat sejarah menjadi kelab EPL kedua dalam sejarah yang meraih gelaran trebel selepas United melakukannya pada musim 1999 ketika bimbingan Sir Alex Ferguson.
Di atas kertas, Guardiola mengakui pasukannya adalah pilihan utama untuk menang tetapi pada masa sama enggan memandang rendah dengan ancaman skuad kendalian Erik Ten Hag tersebut.
Pengendali import dari Sepanyol itu berkata, United memiliki kualiti tersendiri dengan ramai pemain hebat dan mereka mampu mencipta kejutan yang sama seperti ketika menewaskan anak-anak buahnya dalam saingan EPL, Januari lepas.
“Saya sedang memberikan tumpuan khusus untuk perlawanan final bertemu United kerana kita tahu keupayaan pasukan lawan. Saya ada melihat aksi mereka menentang Chelsea minggu lalu dan ternyata mereka masih ada kualiti yang hebat.
“Justeru, saya tidak suka sekiranya kita dianggap pilihan pada aksi final kerana lebih kepada 50-50 yang mana dua pasukan berpotensi untuk menang. Namun, saya percaya barisan pemain sudah bersedia untuk berikan yang terbaik nanti,” katanya.
Sementara itu, tonggak perancang Manchester City, Phil Foden berharap dapat diletakkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan penting itu selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Selepas berehat panjang, saya kini sudah cergas sepenuhnya dan fokus utama adalah untuk membantu pasukan pada dua aksi final yang bakal diharungi. Sudah pasti impian saya agar dapat diserapkan dalam kesebelasan utama nanti,” katanya – AGENSI