fbpx

Jaga adab ketika guna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PENGGUNAAN media sosial kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita tanpa mengira usia. Rata-ratanya tahu menggunakan platform itu sama ada untuk bersosial atau menjana pendapatan.

Menurut laporan meltwater.com, seramai 26.8 juta rakyat Malaysia adalah pengguna media sosial yang aktif di platform itu untuk berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga, berkongsi pengembaraan dan masakan.

Data dikumpul laman web itu turut menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan masa secara purata hampir tiga jam sehari melayari media sosial.

Malah, ‘kuasa netizen’ Malaysia di media sosial juga begitu dahsyat. Baru-baru ini, sebanyak RM9 juta dana berjaya dikutip bagi membantu seorang bayi berusia sembilan bulan yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Athropy (SMA) Type 1.

Namun, media sosial juga mempunyai sisi gelapnya dalam mempengaruhi pengguna khususnya orang muda, remaja dan kanak-kanak.

Berdasarkan pemerhatian penulis, ramai yang taksub mencipta kandungan demi mendapatkan tanda suka walaupun sedar perbuatan itu membahayakan atau menyakiti hati pihak lain.

Lebih membimbangkan, ramai golongan muda dan kanak-kanak turut terikut-ikut yang mana menurut pakar berpunca daripada keinginan mereka untuk diterima rakan sebaya.

Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, penggunaan gajet atau media sosial boleh menyebabkan ketagihan jika tidak dikawal ke­rana platform itu mempunyai pelbagai kandungan yang menarik minat penggunanya.

Katanya, ada pengguna yang berasa seronok apabila hantaran atau perkongsian mereka mendapat perhatian dan ia boleh menyebabkan ketagihan.

“Apa yang membimbangkan ialah pengguna yang ke­tagih perhatian mula membuat hantaran sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada diri sendiri atau orang lain.

“Selain itu, perlu ada adab ketika menggunakan media sosial kerana kita tidak tahu bagaimana struktur psikologi orang yang kita berinteraksi di platform itu.

“Mungkin ada orang yang boleh terima, tetapi ada juga sebaliknya sehingga boleh mencetus tekanan dan berpotensi me­lakukan sesuatu tindakan yang boleh beri kesan buruk terhadap diri mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini

Justeru itu, beliau berkata, bagi memastikan orang muda termasuk remaja berkembang secara positif, ibu bapa perlu memantau pengaruh media sosial ke atas anak masing-masing.

“Perkara ini boleh dilakukan dengan mengawasi penggunaan internet mereka termasuk aktiviti media sosial pada waktu tertentu yang boleh membentuk tabiat penggunaan internet yang lebih sihat, mencegah ketagihan media sosial dan memantau kandungan laman web yang dilawati mereka.

“Perlu didik anak-anak untuk tahu apa yang boleh dibuat dan tidak boleh dibuat, beri didikan dari awal lagi agar anak-anak menggunakan kemudahan itu dengan bijak,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, ibu bapa atau penjaga perlu peka sekiranya berlaku perubahan dalam tingkah laku anak-anak.

“Jika sikap anak berubah, ibu bapa perlu guna pendekatan lain. Jadi support group (kumpulan sokongan) untuk anak-anak supaya mereka berasa selamat untuk berkongsi dengan ibu bapa apa yang dilalui,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI