fbpx

Gelombang haba, kebakaran hutan ancam Kanada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH pesawat menggugurkan bom air semasa kebakaran hutan marak di Tasik Barrington pada 31 Mei lalu. – AFP

MONTREAL, Kanada – Gelombang haba paling panas melanda timur Kanada dan berisiko memarakkan lagi kebakaran hutan yang mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan pantai menghadap Lautan Atlantik serta beberapa bahagian lain.

Lebih 210 kebakaran hutan marak di serata Kanada kelmarin termasuk 82 berada di luar kawalan. Bencana itu memusnahkan kawasan lebih 2.3 juta hektar tahun ini, lapan kali ganda lebih besar berbanding purata tiga dekad lalu.

“Situasi ini (kebakaran hutan) seawal ini pada musim ini sama sekali di luar jangkaan dan sudah tentu amat membimbangkan,” kata Menteri Persediaan Kecemasan, Bill Blair dalam satu sidang akhbar di Ottawa.

Selepas siri kebakaran besar melanda barat Kanada pada Mei lalu, khususnya kawasan padang rumput di wilayah Alberta dan Saskatchewan, usaha memadamkan api beralih ke Nova Scotia dan pesisir pantai Atlantik sejak seminggu lalu.

Rantau tersebut jarang me­ngalami kebakaran hutan teruk yang berlaku selepas cuaca panas dan kering bergerak ke arah timur.

“Kanada berdepan impak perubahan iklim seperti kebakaran hutan yang lebih banyak dan lebih kerap, kata Menteri Sumber Alam Semula Jadi, Jonathan Wilkinson sambil menambah, kemusnahan akibat kebakaran hutan diramal me­ningkat dua kali ganda menje­lang 2050.

Di Nova Scotia, 16 kebakaran sedang marak kelmarin. Seba­nyak 200 kediaman musnah dan hampir 20,000 penduduk telah dipindahkan.

“Wilayah kita mengalami trauma yang teruk,” kata Ketua Menteri Nova Scotia, Tim Houston.

Katanya, pasukan Pengawal Pantai dan pesawat pengebom air dari wilayah-wilayah jiran telah menghulurkan bantuan dengan peralatan tambahan dihantar dari Ontario, manakala anggota bomba dari Amerika Syarikat dan Afrika Selatan sedang dalam perjalanan.

“Kita masih belum selamat. Kita berdepan situasi amat berbahaya dan mudah berubah. Kita memerlukan bantuan alam semula jadi,” kata pegawai tempatan, David Steeves.

Satu kebakaran besar yang memaksa lebih 16,000 penduduk berpindah kini mengancam pula pinggir bandar utama di Nova Scotia, Halifax.

Namun, satu lagi kebakaran dekat Tasik Barrington menjadi cabaran kepada pasukan bomba dan sukarelawan lain selepas memusnahkan lebih 20,000 hektar kawasan. Ia meru­pakan kebakaran paling besar pernah berlaku di Nova Scotia.

Lebih 2,000 penduduk di laluan api yang merebak pantas terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang awal minggu ini.

Sementara itu, bandar utama Kanada iaitu Montreal, Toronto dan ibu kotanya, Ottawa menyaksikan suhu panas melonjak melebihi 30 darjah Celsius sekali gus memecahkan rekod suhu sebelum ini.

Pekerja pembinaan, Line Blette membasahkan badannya dan berkata kepada AFP; “Inilah satu-satunya cara untuk kami boleh terus bekerja.”

Di barat Kanada pula, lebih 60 kebakaran marak di wilayah yang kaya dengan sumber mi­nyak, Alberta. Jumlah itu sekitar separuh ketika bilangan kebakaran hutan memuncak di Alberta pada Mei lalu yang mencetuskan perintah darurat.

Sebanyak 20 kebakaran lagi merebak di wilayah Saskatchewan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI