fbpx

K2

Ukiran kayu, barangan antik serlah tema klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiap ruang kelihatan cukup klasik menerusi susunan perabot antik.

Konsep dekorasi yang mengetengahkan elemen ukiran kayu mempunyai pesonanya tersendiri.

Ukiran kayu ini apabila digandingkan dengan padanan barangan antik mampu menaikkan lagi seri klasik sesebuah kediaman.

Rafidah Nani Affandi atau lebih mesra disapa Nani berkata, minat terhadap barangan antik membuatkannya memilih untuk menghias kediaman dengan konsep atau tema klasik.

Malah, rata-rata perhiasan antik tersebut merupakan barangan terpakai yang diolahnya mengikut kreativiti tersendiri.

Saat kaki melangkah masuk ke kediaman yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, rona lembut seperti coklat cair dan asli kayu menerpa mata, sekali gus mencipta suasana tenang.

Umpama berada di dalam sebuah muzium, koleksi barangan terpakai yang dihias cantik di setiap sudut pastinya memukau pandangan para tetamu.

Gabungan kayu dan besi, diiringi rona kekelabuan pada ruang tamu juga menyerlah elemen rustik pada kediaman.

Rumah itu pada asalnya merupakan sebuah kediaman biasa.

“Namun, ia mula diubah suai sebagai kediaman antik hampir empat tahun lalu.

“Saya mula menghias kediaman ini pada 2019.

“Sebelum menghias kediaman ini, saya sememangnya sudah banyak menyimpan barangan lama seperti kerusi dan sebagainya.

“Kemudian, barang ini dikeluarkan dan digunakan bagi menghasilkan elemen klasik di sini,” ujarnya.

NANI amat mementingkan fungsi pada setiap ruang di kediamannya.

Bagi Nani, setiap barangan lama itu boleh diubah suai dan digunakan semula bagi mengelak pembaziran.

Malah, ibu kepada dua orang cahaya mata itu kerap berkongsi tip untuk mengubah suai barangan lama menerusi akaun TikTok miliknya.

Ia sebagai inspirasi buat orang ramai mengubah suai barangan antik.

“Mengguna pakai semula barangan perhiasan daripada kayu ini lebih menjimatkan kos.

“Namun begitu, cara menjaganya agak rumit supaya ia tahan lebih lama.

“Hal ini kerana, kita perlu memastikan tidak rosak dimakan anai-anai dan mampu bertahan selama bertahun-tahun,” kongsinya.

Menjengah ke sudut dapur kediaman tersebut, elemen klasik diserlahkan menerusi hiasan kayu dan rotan yang kerap dilihat pada kediaman Melayu pada zaman dahulu.

Percikan rona kelabu kebiru-biruan pada kabinet pula cukup mengimbau memori, umpama sedang berada di sebuah rumah kampung.

Dinding rona lembut dengan pencahayaan semula jadi dari bahagian belakang rumah yang luas dan terang menjadikan ruang tersebut tampak cukup selesa.

Selain susun atur perabot mengikut kesesuaian, Nani juga amat mementingkan fungsi pada setiap ruang.

Ujarnya, fungsi ruang amat penting tatkala menghias kediaman bagi menjadikan setiap sudut pada kediaman digunakan sebaiknya.

Tambah Nani, dia berharap supaya orang ramai boleh menerapkan nilai klasik dan tradisional pada susun atur kediaman.

Jelasnya, ia sebagai menghargai dan mengenang kembali kehidupan mereka pada zaman dahulu yang serba kekurangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI