JOHOR BAHRU – Biarpun dikurniakan dua anak kategori Orang Kelainan Upaya (OKU), sepasang suami isteri tidak pernah menjadikannya beban, malah tabah membesarkan anak istimewa itu dengan penuh kasih sayang bersama dua lagi adik beradiknya yang normal.
Pasangan suami isteri, Izri Jailani, 34, dan Siti Maizatul Akhmar, 32, dikurniakan empat orang anak, namun anak sulung mereka, Izureen Qhaireen Izri, 7, dan anak ketiga, Izham Muhamad, 4, menderita penyakit saraf atau Canavan Disease.
Sementara itu, dua lagi anak mereka Izara Sofea, 6, dan Anaqi, sembilan bulan merupakan kanak-kanak normal.
Menurut Siti Maizatul, ketika dilahirkan, Izureen dan Izham seperti kanak-kanak normal lain, namun semakin hari keadaan fizikal mereka menunjukkan kelainan antaranya kepala semakin membesar, selain fizikal yang semakin lemah.
Ekoran itu, katanya, kedua-dua anaknya itu tidak mampu bergerak seperti kanak-kanak lain sebaliknya hanya terlantar dan memerlukan perhatian sepenuh masa.
“Sebelum ini, doktor memaklumkan kanak-kanak yang menderita penyakit ini dianggarkan mempunyai jangka hayat sekitar 10 tahun sahaja.
“Saya dan suami tetap mendoakan yang terbaik dan berjanji untuk menjaga kebajikan mereka sebaik mungkin,” katanya yang tinggal di Jalan Seluang, Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.
Mereka ditemui pemberita di kediamannya di sini selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.
Sementara itu, Siti Maizatul memberitahu, semasa mengandungkan anak keempat, doktor melahirkan kebimbangan anaknya akan menghidap penyakit yang sama kerana saiz kepalanya sedikit besar.
“Saya dan suami reda dan bersedia untuk menjaganya jika sememangnya itu yang ditakdirkan buat kami berdua. Alhamdulillah anak yang dilahirkan ini normal,” ujarnya.
Siti Maizatul terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak-anaknya sepenuh masa manakala suaminya bekerja kilang dengan pendapatan sekitar RM2,000.
Menurutnya, dia memerlukan RM1,000 setiap bulan merangkumi perbelanjaan makanan dan minuman mereka dan lampin pakai buang.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 7609399041 milik Siti Maizatul.