TIDAK kira di laut atau darat, kaki pancing akan sentiasa mencari jalan untuk melampiaskan hobinya.
Walaupun tinggal di kota, namun Rasydy Rakumin, 51, akan sentiasa mencari peluang ke ‘lubuk’ terdekat untuk memancing ikan.
Dia yang tinggal di Subang Perdana, Selangor berkata, jika tidak ke sungai, tasik atau bekas lombong, satu lagi lokasi yang menjadi tumpuannya adalah kolam air masin.
“Sejak kecil, memancing sudah menjadi hobi saya yang turut dikongsi bersama ayah. Jadi, kami akan sentiasa ke sungai, kolam dan laut bersama-sama.
“Namun, selepas tinggal agak jauh dari laut, ‘lubuk’ ikan memang terhad terutama di kawasan membangun.
“Tempat paling dekat adalah kolam memancing,” katanya ketika ditemu bual Gewang baru-baru ini.
Sebagai kaki pancing, Rasydy tidak akan melepaskan peluang untuk keluar memancing sama ada seorang diri atau bersama kawan-kawan jika mempunyai masa lapang.
Kolam pancing air masin Aduro, merupakan salah satu lokasi pilihan Rasydy jika ada kesempatan untuk memancing.
Dia memberitahu, lokasi tersebut menjadi pilihan kerana pengalaman memancing di sana dapat mengubat rindu memancing di laut.
“Sudah lama saya memancing di sini iaitu sejak dibuka 30 tahun lalu. Kolam pancing air masin ini sahaja yang boleh memberi peluang kepada saya memancing ikan laut memandangkan saya tinggal di kawasan bandar.
“Lokasinya juga dekat dengan rumah. Ikan yang terdapat di sini merupakan spesies popular serta sering diburu oleh pemancing di laut seperti siakap, kaci, kerapu dan jenahak,” ujarnya.
Kongsi Rasydy lagi, dia juga sentiasa mendapat hasil yang memuaskan setiap kali memancing di kolam Aduro.
Sementara itu, pemilik kolam pancing air masin Aduro, Sudhen Sivaguru, 30, memberitahu, pihaknya ingin memberi kepuasan memancing kepada setiap pengunjung.
Sivaguru yang mengambil alih pengurusan kolam tersebut daripada bapa saudaranya berkata, sebagai seorang kaki pancing, dia tahu bahawa menawan ikan laut memberi kepuasan berbeza.
“Kolam ini boleh dikatakan antara kolam pancing buatan terdalam di Sungai Buloh dengan kedalaman antara tiga hingga empat meter dengan minimum 500 ekor ikan di dalamnya.
“Kolam ini juga mempunyai keluasan kira-kira 300 meter persegi serta boleh memuatkan seramai 150 ke 200 pemancing pada satu-satu masa,” jelasnya.
Kongsinya lagi, dia memilih untuk meneruskan perusahaan kolam tersebut kerana ingin memenuhi keinginan golongan pemancing yang gemar memancing ikan laut.
Katanya, dia juga ingin mengekalkan empat spesies ikan laut sebagai tarikan buat kaki pancing, selain menganjurkan pertandingan dan tawaran wang ringgit bagi ikan terberat yang dinaikkan.
Dia memaklumkan, kebanyakan kolam pancing air masin lain hanya meletakkan ikan siakap dan kaci.
“Tidak banyak kolam yang ada kerapu dan jenahak kerana memerlukan kos tinggi. Kita sentiasa ambil serius ikan di dalam kolam dan ia sentiasa sihat.
“Setiap hari akan ada kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan untuk memastikan tahap kemasinan air berada pada kadar normal,” jelasnya.