GEORGE TOWN – Enam kru termasuk tekong bot nelayan warga Indonesia ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap hasil laut kelmarin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, sebuah bot nelayan asing (BNA) dari Indonesia itu ditahan di sekitar 88.8 kilometer barat daya Pulau Kendi pada pukul 12 tengah hari.
“Bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong warga Indonesia berusia lingkungan umur 18 hingga 51 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kru serta tekong terbabit mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan yang sah untuk memasuki perairan negara ini.
“Kesemua kru ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.
“Bot, kru serta 50 liter minyak diesel dirampas dan diiring ke jeti Limbungan Batu Maung untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian: 04-2626146 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE