MEKAH – Kesemua 31,600 jemaah Malaysia telah melalui pemeriksaan kesihatan yang komprehensif dan lulus sebelum mereka dibenarkan menunaikan haji tahun ini.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Marsudi Manah berkata, jemaah dikategorikan mengikut kod warna berdasarkan tahap kesihatan masing-masing.
Katanya, jemaah yang tidak mempunyai masalah kesihatan diberikan kod warna hijau, manakala bagi yang ada masalah kesihatan terkawal seperti hipertensi dan diabetes yang stabil serta boleh menjalankan ibadah haji sendiri dikategorikan dalam kod kuning.
“Kod merah pula bagi jemaah yang memerlukan pengiring untuk memudahkan pergerakan mereka melaksanakan haji.
“Kod hitam pula untuk jemaah yang mempunyai penyakit kronik dan tidak dibenarkan terbang ke Tanah Suci,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, doktor akan melakukan pemeriksaan ke atas semua segmen dalam sistem tubuh seperti kardiovascular, pencernaan dan emosi sebelum jemaah dibenar tunaikan haji.
“Jemaah pula perlu diperiksa oleh doktor bertauliah di klinik-klinik kesihatan kerajaan atau swasta yang mempunyai nombor pendaftaran yang diluluskan Kementerian Kesihatan.
“Kriteria pemeriksaan kesihatan bawah garis panduan itu antaranya menetapkan tiada jemaah berpenyakit kronik seperti kanser, penyakit paru-paru kronik dan sebagainya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE