fbpx

Polis Evo 3 kutip RM25 juta dalam tempoh 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WATAK Reza yang dimainkan Sharnaaz Ahmad meninggalkan kesan terhadap penonton.

PETALING JAYA – Filem Polis Evo 3 terus mencipta magis tersendiri apabila mengaut RM25 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan di pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

Filem arahan Syafiq Yusof itu secara tidak langsung mengatasi kutipan pecah panggung Polis Evo 2 terbitkan 2018 yang mencatatkan angka sebanyak RM23 juta dalam tempoh 44 hari.

Sebelum ini, franchais pertama naskhah aksi komedi yang menemui penonton lapan tahun lalu menjadi filem tempatan pertama menembusi kutipan ‘box office’ lebih RM18 juta.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kutipan Polis Evo 3 telah memecahkan rekod pungutan keseluruhan Polis Evo 2 hanya dalam tempoh seminggu.

“Momentum positif ini memperlihatkan prestasi yang lebih pantas, malah membuatkan kami teruja apabila ramai memberi maklum balas telah mengulang tonton Polis Evo 3.

Seminggu tayangan, Polis Evo 3 yang diterajui pelakon hebat seperti Shaheizy Sam dan Zizan Razak berjaya mengutip RM25 juta.

 

“Sambutan khalayak yang menjadi penyokong kuat sudah tentu menyuntik semangat untuk seluruh pasukan terus merancakkan aktiviti ‘turun padang’ sebagai tanda penghargaan.

“Kami akan terus fokus memantapkan pemasaran supaya Polis Evo 3 dapat dinikmati semua lapisan penonton kerana kami percaya filem ini menepati cita rasa ramai,” katanya.

Selain kekuatan tunjang utama, Inspektor Khai lakonan Shaheizy Sam dan Inspektor Sani (Zizan Razak), akuinya, watak Reza selaku antagonis yang digalas Sharnaaz Ahmad turut meninggalkan impak terhadap penonton.

Menurut Raja Jastina, kemunculan karakter bekas polis yang muncul untuk membalas dendam memberikan warna terhadap karier serta erti persahabatan antara Khai serta Sani, sekali gus magnet menarik penonton.

Sebelum ini, karakter penjahat dalam Polis Evo bernama Izrail telah mengangkat pelakonnya, Hushairi Husain sebagai pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Manakala, pelakon Hasnul Rahmat menerusi watak Saif iaitu karakter ‘hitam’ di Polis Evo 2 pula dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di FFM ke-30.

Filem Polis Evo 3 yang ditayangkan bermula 25 Mei lalu turut membariskan Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan dan Eyka Farhana.

Filem ini adalah terbitan bersama Astro Shaw dengan Skop Productions dan TGV Cinemas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI