MANCHESTER – Pep Guardiola memberi pujian kepada pemain sayapnya, Ferran Torres selepas aksi lincahnya membantu pasukan meraih kemenangan ketika membenam cabaran Olympiakos 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, City membuka jaringan pembukaan menerusi Torres pada minit ke-12 sebelum Gabriel Jesus yang kembali pulih daripada kecederaan meledak gol pada minit ke-81.
Meskipun Olympiakos cuba bangkit daripada kekalahan namun usaha tersebut tidak berhasil selepas City terus menambah derita pasukan pelawat setelah Joan Cancelo menambah gol kemenangan skuad The Citizens pada minit ke-90.
“Dia (Torres) bermain dengan baik pada hari ini dan gerakan lincahnya membantu kami berada di hadapan.
“Peningkatan yang sangat baik buat pemain itu sejak bersama pasukan ini. Saya gembira dengan situasi tersebut memandangkan kita berdepan masalah terutama beberapa pemain dihimpit masalah kecederaan.
“Saya juga gembira Jesus kembali mendapat keyakinannya bersama pasukan selepas pulih daripada kecederaan sebelum ini. Meskipun dimasukkan pada babak kedua, namun dia berjaya menjaringkan gol kedua pasukan,” katanya. – AGENSI