fbpx

TCL aktif promosikan barangan elektronik di Malaysia mulai Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenama TCL terkenal di pasaran global kerana menawarkan televisyen LED bersaiz besar dan antara yang popular adalah bersaiz 98 inci.

PETALING JAYA – Jenama elektronik inovatif China, TCL telah mengembangkan operasinya di Malaysia dan kini bersedia untuk membawa masuk pelbagai produk jenis pertengahan hingga mewah ke negara ini pada bulan depan.

Seiring pelan pengembangan masa depan, syarikat akan memperkenalkan pelbagai produk televisyen, penghawa dingin, peti sejuk dan mesin basuh yang boleh didapati menerusi saluran dalam talian dan luar talian seperti di platform edagang iaitu Lazada, Shopee dan TikTok.

Ia turut dijual di pasar raya dan kedai elektronik sama ada kedai tradisional atau kedai rangkaian.

Pengurus Besar TCL Malaysia, Carolyn Qiu berkata, TCL akan memperkenalkan televisyen sebagai fokus utama yang didatangkan dalam mini LED, QLED dan UHD untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza sambil menawarkan pelbagai pilihan kepada mereka. 

“Berdasarkan maklum balas pasaran kami, membeli televisyen  yang lebih besar sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia, sebab itu kami akan memberi tumpuan kepada  televisyen bersaiz 55 inci dan ke atas termasuk  televisyen TV 85 inci dan 98 inci untuk pengguna yang berminat mencipta suasana sinematik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Sebelum ini, TCL telah memperkenalkan produk pelbagai kategori terkini untuk pasaran Asia Pasifik pada acara pelancaran eksklusif di Bangkok, Thailand baru-baru ini. 

Majlis tersebut mempertengahkan televisyen 2023 Series C Mini LED dan QLED dengan kualiti gambar yang menakjubkan, siri penghawa dingin Gentle Cool serta pelbagai peralatan rumah tangga yang membolehkan gaya hidup lebih sihat dan selesa.

Qiu menerangkan, kedudukan jenama TCL dikategorikan sebagai premium mampu milik yang mana pengguna dapat menikmati produk elektronik berkualiti dan berspesifikasi tinggi dengan harga lebih rendah. 

 Tambah beliau, syarikat akan memulakan aktiviti pemasaran digital untuk membina kesedaran jenama dan produk di kalangan pengguna melalui media sosial dan platform dalam talian

“Rupa dan kelebihan  produk kami di kedai-kedai adalah penting, maka kami memberi perhatian yang besar bagi memastikan pengguna dapat membaca spesifikasi produk dengan jelas dan membuat perbandingan kualiti imej. 

“Kami berharap dapat memberi pengalaman hebat kepada pengguna dan memenangi kepercayaan mereka terhadap produk kami,” tambahnya. 

Selain itu, Pengurus Besar Pusat Pemasaran Global TCL Industries, Eileen Sun berkata, TCL komited terhadap penyelesaian teknologi yang bertanggungjawab sosial dan mempunyai impak yang rendah terhadap alam sekitar, malah dibangunkan serta dihasilkan dengan cara yang paling mampan. 

Seperti yang diserlahkan dalam Laporan ESG syarikat, TCL berjanji untuk membuat pengurangan yang ketara bagi mengurangkan kesannya terhadap alam sekitar. 

Menjelang tahun 2025, TCL menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 18 peratus, penggunaan air sebanyak 27 peratus, penggunaan elektrik sebanyak 14 peratus, penggunaan gas asli sebanyak 70 peratus, penggunaan bahan pembungkusan besar sebanyak enam peratus dalam usaha melindungi masa depan bumi kita. 

“Kami juga mempunyai kilang pemasangan terbesar di dunia di Huizhou, China yang mana TCL telah mencatatkan pendapatan sebanyak 160 bilion yuan (RM104 bilion) tahun lepas, dan 13 bilion yuan (RM8.45 bilion) daripadanya telah diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan. 

“Ini menjadi asas yang kukuh bagi kami untuk mengeluarkan produk mewah baharu setiap tahun,” jelasnya

TCL mula menerokai pasaran di luar China pada tahun 1999 dengan penubuhan operasi di Vietnam. 

Jenama yang mempunyai kehadiran di lebih 160 pasaran itu mempunyai pengalaman luas dalam pengendalian operasi dengan sistem teknologi maklumat itu  khusus untuk meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan pesanan dan perkhidmatan selepas jualan. 

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar TCL Malaysia, Wu Dan menerangkan, moto TCL iaitu Inspirasikan Keunggulan bertujuan untuk membangkitkan semangat yang positif dan berdaya supaya impian menjadi kenyataan dan seorang insan mencapai potensi dirinya. 

“Moto itu dihidupkan melalui kerjasama jangka panjang menerusi projek sukan antarabangsa dan usaha mengikut peredaran masa, sekali gus menunjukkan komitmen kami terhadap pasaran Asia Pasifik menerusi pembawaan inovasi dan pengalaman terkini yang hebat kepada pengguna,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI