fbpx

Tiga kejohanan berprestij sasaran Andre

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TOMOHARU (dua dari kiri) bersama Sarah (tiga dari kanan), Andre dan Queenie pada Majlis Penghargaan Pemenang Pingat Di Bawah ASEAN Victory Projek Bagi Sukan SEA Ke-32 di Kilang Ajinomoto (M) Bhd. dekat Bandar Enstek, Nilai hari ini. - ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Selepas memenangi pingat emas Sukan SEA Kemboja baru-baru ini, jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar kini menyasarkan untuk memberikan persembahan terbaik dalam tiga kejohanan besar disertainya tahun ini.

Tiga kejohanan tersebut adalah Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand (12-16 Julai), Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou di China pada September nanti.

“Saya kini melakukan persediaan untuk menghadapi ketiga-tiga kejohanan tersebut. Sasaran adalah mendapatkan tempat terbaik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Pemenang Pingat di bawah ASEAN Victory Project Dalam Sukan SEA Ke-32 di Kilang Ajinomoto (M) Bhd. di Bandar Enstek, Nilai hari ini.

Andre yang berasal dari Sabah mempertahankan pingat emas bagi acara lompat kijang selepas melakukan lompatan sejauh 16.06 meter (m) pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Pada majlis berkenaan, seramai tiga atlet di bawah Program Pemakanan Sukan Winning Meals Kachimeshi, ASEAN Victory Project telah diraikan susulan prestasi membanggakan di Sukan SEA Kemboja 2023 yang lalu.

Selain Andre, atlet lempar cakera, Queenie Ting Kung Ni dan ratu lompat bergalah, Nor Sarah Adi masing-masing berjaya meraih pingat perak pada saingan di bumi Phnom Penh itu.

Mereka bertiga sebelum ini telah diberikan pendedahan mengenai pemakanan sukan dan menerima makanan seimbang bagi memenuhi keperluan latihan serta sasaran untuk menghadapi temasya sukan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ajinomoto (M) Bhd. Tomoharu Abe berkata, pihaknya berharap Program Winning Meals Kachimeshi akan terus dapat memberi sokongan dan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Program Winning Meals Kachimeshi juga diharapkan dapat memupuk amalan pemakanan sihat dan hidup aktif dalam kalangan atlet dan individu yang aktif bersukan,” jelasnya.

Penglibatan Ajinomoto (M) Bhd. dalam pemakanan nutrisi sukan sejak 2019 melalui kerjasama mereka dengan Kementerian Pendidikan.

Ia menerusi Projek Kesedaran Pemakanan Sukan yang merupakan inisiatif penciptaan nilai bersama Kumpulan Ajinomoto yang bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan nutrisi sukan dalam kalangan pelajar atlet.

Projek berkenaan masih diteruskan dan kini melibatkan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Malaysia Pahang dan Sekolah Sukan Malaysia Sabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI