MELAKA – Durian Udang Merah yang ditanam di kawasan bukit tinggi menjadi rebutan, bukan sahaja penggemar raja buah di negeri ini tetapi peminat dari Sabah dan Sarawak yang sanggup datang ke Melaka semata-mata untuk menikmati keenakan raja buah itu.
Menurut pemilik dusun Malacca Durian Heng, Tan Thian Yew, dusunnya menjual tiga hingga empat tan durian setiap hari dengan 40 peratus daripadanya merupakan Udang Merah.
Katanya, jumlah itu bagaimanapun mampu mencecah lebih lima tan pada hujung minggu dengan pelbagai jenis durian ditawarkan termasuk musang king, ioi, black thorn, kahwin dan kampung.
“Udang Merah ini ditanam di kawasan bukit, sebab itu rasanya lebih pekat berbanding durian jenis lain dan menjadi rebutan ramai, bukan sahaja pelanggan tempatan tetapi ada yang sanggup datang dari Sabah dan Sarawak ke sini untuk menikmati keenakannya.
“Kulit durian ini lebih kelabu dan warna isinya kuning kemerah-merahan, ramai suka kerana rasanya lebih berlemak dan tidak terlalu manis seperti musang king,” katanya ketika ditemui di Bukit Kajang, di sini, semalam.
Tambahnya, beliau juga mengeksport empat tan durian Udang Merah setiap hari ke Singapura susulan menerima permintaan tinggi.
“Luas dusun kami adalah sekitar 40.4 hektar dengan kebanyakkannya adalah tanaman pokok udang merah. Kali ini musim durian agak panjang dan hasil dikeluarkan dijangka mampu menampung permintaan sehingga September depan.
“Harga durian udang merah kini RM20 sekilogram, jauh lebih murah berbanding sebelum ini yang bukan musimnya iaitu RM35 sekilogram, durian lain pun murah dengan jenis kampung bermula RM3 dan musang king RM28 sekilogram,” katanya.
Sementara itu, seorang penggemar durian, Atikah Zakaria, 47, berkata, dia dan suaminya, Mohd. Ali Mohamed Ismail, 46, sanggup datang dari Ipoh, Perak selepas tertarik dengan promosi udang merah itu di laman sosial TikTok.
“Kami datang selepas selalu tengok Thian Yew buat video menunjukkan isi durian termasuk jenis black thorn, musang king dan udang merah.
“Rasa udang merah di sini memang berbeza kerana ia lebih berlemak dan memang puas hati,” katanya.