fbpx

Tak puas hati bunyi bising motosikal, 13 individu gaduh guna helmet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Gara-gara tidak berpuas hati dengan bunyi bising motosikal, dua kumpulan bertindak merusuh dan bergaduh menggunakan topi keledar di Bukit Ampang, Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku pada pukul 10 malam itu melibatkan 13 lelaki warga tempatan dengan lingkungan usia 15 hingga 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil siasatan mendapati punca rusuhan adalah tidak berpuas hati dengan satu kumpulan yang membuat bunyi bising motosikal.

“Seorang suspek kumpulan lain menegur dan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan.

“Tiga suspek mengalami kecederaan ringan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, ujar Mohamad Farouk, pada Selasa kira-kira pukul 12.05 tengah hari hingga 5.15 petang, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah Polis Ampang Jaya berjaya menangkap 13 lelaki tersebut.

Menurutnya, salah seorang tangkapan merupakan seorang pelajar sekolah menengah manakala suspek lain ada yang menganggur serta bekerja sebagai penghantar makanan dan pembantu jualan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif manakala tiga suspek berusia 20, 21 dan 26 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan reman terhadap suspek dibenarkan selama empat 4 hari sehingga Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI