PETALING JAYA – Ramai ibu bapa kini cenderung memilih supaya anak-anak mereka yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan pekerjaan tetap berbanding menyambung pelajaran secara langsung.
Seperti perkongsian seorang wanita, Nazlin di Facebook hari ini, dia mempunyai pendapat serupa kerana baginya apabila anak sudah mempunyai pekerjaan tetap serta kewangan yang stabil, ia akan lebih memudahkan urusan untuk menyambung pelajaran.
“Pengalaman sendiri, saya akan suruh anak saya habis SPM, apply (mohon) kerja kerajaan. Dah masuk, dah tetap, baru mohon untuk sambung belajar.
“Sebab kemudahan banyak. Dah habis study (belajar), minta kenaikan pangkat berdasarkan kelulusan. Ini pengalaman saya sebagai penjawat awam dan ini cara saya fikir. Tak ada betul tak ada salah, atas perancangan masing-masing.
“Kerja kerajaan ke swasta ke make sure (pastikan) dapat kerja tetap, baru tak rasa beban apabila sambung belajar,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook berpandangan, generasi sekarang perlu terus bekerja berbanding menyambung pelajaran kerana tahap gaji yang ditawarkan kepada golongan graduan adalah sama seperti mereka berkelulusan SPM.
“Nasihat aku jangan sambung belajar, kau SPM dapat gaji awal RM1,800, nanti dua tahun gaji dah RM2,000, yang sambung belajar dua tahun ambil diploma masuk kerja gaji RM1,800 juga.
“Kau rasa? ada beza kerja dengan SPM dan kerja dengan Diploma?,” soal individu tersebut.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Facebook, Riena berkata, ramai ibu bapa serta pelajar terbeban ketika menyambung pelajaran disebabkan kos pengajian yang tinggi dan terlalu mahal termasuklah di universiti awam.
Jelasnya, lebih baik menyediakan kewangan yang mencukupi selepas tamat SPM sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Nak belajar kena pakai banyak duit, nak kena sediakan kemudahan belajar lagi, laptop (komputer riba) semua perlu kos yang tinggi, ramai tak cukup duit untuk bayar kos awal daftar pengajian.
“Lebih baik kerja dahulu, ada kewangan kukuh, baru mohon sambung belajar. Sebab belajar ini sampai ke tua pun boleh lagi, kalau kerja, kau tua baru nak mohon memang majikan tak pandang,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE