fbpx

Medan perkasa ekonomi wanita B40 Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 100 wanita dalam kalangan B40 Selangor dihimpunkan dalam Program Liga Usahawan Wanita Selangor di Kuala Lumpur baru-baru ini yang berteraskan latihan keusahawanan dan sokongan mentor.

TIDAK dinafikan, golongan wanita merupakan tunjang dan amat penting dalam pembangunan sesebuah negara termasuk dari segi ekonomi.

Terbaharu, Selangor Youth Community (SAY) berjaya mengumpulkan 100 wanita dalam kalangan berpendapatan RM3,600 ke bawah (B40) menerusi satu acara santai dikenali sebagai Program Liga Usahawan Wanita Selangor di ibu negara.

Program tersebut diadakan khas untuk usahawan wanita daripada keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan asnaf dari seluruh Selangor bertujuan membantu membangunkan taraf ekonomi hidup mereka.

Program anjuran kerajaan negeri Selangor menerusi SAY itu juga bermatlamat memperkasa wanita dalam kategori berkenaan menerusi pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan bagi menjana pendapatan mampan melalui peluang perniagaan.

Penolong Pengarah Unit Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Intan Nur Aqiela Ismail berkata, program berimpak tinggi itu berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman serta geran dan juga rangkaian strategik komuniti perniagaan.

“Pada fasa pertama program itu, seramai 100 usahawan wanita diberikan pendedahan melalui seminar mengenai perniagaan dan 20 orang peserta akan dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor.

“Di akhir program pula, 10 orang peserta akan diberi peluang untuk membuat pembentangan perniagaan di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Alhaj.

Intan memberitahu program tersebut adalah program berimpak tinggi.

“Antara 10 orang peserta program tersebut bakal dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Wanita Selangor dan kriteria pemilihan peserta ialah wanita daripada keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,600, wanita asnaf atau ibu tunggal serta menjalankan perniagaan di negeri Selangor dan menetap di Selangor,” katanya.

Intan Nur Aqiela berkata, sebagai permulaan, pihaknya memberikan bantuan RM100,000 kepada SAY untuk melaksanakan program perintis itu.

Terdahulu, program itu dimulakan dengan acara seminar bertajuk Usahawan Wanita dalam Perniagaan: Peluang dan Cabaran.

Panel seminar itu adalah Ketua Pegawai Operasi Women of Will (WOW), M. Lakshwin, usahawan makanan yang mendapat latihan di bawah Wanita Berdaya Selangor (WBS), Rabiatul Adawiyah

Abdul Rahman dan usahawan yang menjalankan perniagaan urutan tradisional serta menjadi 10 peserta akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD), Siti Nabiha Zulmajdi.

Lakshwin pada seminar itu berkata, mereka yang berhasrat menjadikan perniagaan sebagai sumber utama pendapatan perlu mempunyai strategi.

Katanya, tiga perkara yang paling utama adalah mengetahui objektif, bermula dengan modal dalam lingkungan kemampuan dan terus belajar perkara baharu.

“Objektif amat penting supaya kita tahu apakah tujuan utama kita memulakan perniagaan dan berusaha mencapai matlamat itu.

“Kemudian apabila mahu memulakan perniagaan, elak membuat pinjaman dan mula dengan modal yang mampu sahaja.

“Selain itu, untuk terus maju dalam perniagaan, usahawan wanita perlu terus belajar dan kreatif selagi mampu bagi mengelak ketinggalan dalam dunia serba moden,” katanya.

Program bermula pada Mei hingga Jun 2023 tersebut terbuka kepada semua wanita B40, ibu tunggal dan wanita asnaf meliputi semua daerah di Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI