KOTA BHARU – Seorang penganggur dihukum penjara 54 tahun dan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anaknya, melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, melakukan kelucahan melampau, memiliki pornografi kanak-kanak dan video lucah sejak tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 39 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin.
Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara 16 tahun berikutan hukuman bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu berjalan serentak bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 19 tahun apabila perhubungan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Sering di sini kira-kira pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari pada akhir Mac, 10 Mei dan 11 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara dengan lapan sebatan untuk pertuduhan pertama, 15 tahun dan lapan sebatan (pertuduhan kedua) dan 16 tahun dan lapan sebatan (pertuduhan ketiga).
Mengikut pertuduhan keempat dan kelima, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak kandungnya.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di dua lokasi berasingan di Sering dan Panji di sini kira-kira pukul 11.05 pagi dan 4 petang pada 11 Mei lalu dan 7 Disember tahun lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 377D kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan keempat dan pertuduhan kelima penjara setahun jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan keempat dan setahun penjara bagi pertuduhan kelima.
Mengikut kertas pertuduhan keenam dan ketujuh, tertuduh didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dan video lucah dalam telefon bimbitnya di Sering, di sini pada 19 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan keenam dan penjara satu tahun bagi pertuduhan ketujuh.
Bagi dua kesalahan berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan keenam dan penjara satu tahun untuk pertuduhan ketujuh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh memandangkan hubungannya dengan mangsa adalah bapa dan anak.
“Sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan tidak melakukan perbuatan terkutuk terhadap anaknya sendiri.
“Perbuatan yang dilakukan itu telah meninggalkan kesan trauma seumur hidup kepada mangsa,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan sebanyak 54 tahun dan 25 sebatan, namun tertuduh hanya meringkuk dalam jel selama 16 tahun memandang kesemua hukuman berjalan serentak bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE