fbpx

Pemandu bas Singapura didakwa seleweng 500 liter diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONG PANG didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyeleweng minyak diesel bersubsidi, Selasa lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas persiaran Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeleweng minyak diesel bersubsidi 500 liter, Selasa lalu.

Tertuduh, Low Yong Pang, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki warga Singapura itu didakwa memiliki barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sejumlah anggaran 500 liter di dalam kenderaan sebuah bas persiaran jenis Scania nombor pendaftaran PA7792G.

Perbuatan itu dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1)Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

Kesalahan itu dituduh dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Kempas Baru, Johor Bahru pada pukul 10 pagi, 30 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk kesalahan kali kedua dan seterusya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Pegawai Pendakwa KPDN, Raja Nor Ikhlas Raja Ariff manakala Yong Pang diwakili peguam, Dahlia Tan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI