KUALA LUMPUR – Penyanyi Farisha Iris menafikan tuduhan segelintir pihak mendakwa dirinya sebagai perampas tunangan orang.
Farisha atau nama lengkapnya Farisha Asmadi mendedahkan lelaki yang kini bergelar kekasihnya, Hardee bukan tunangan sesiapa saat mereka serius menjalin cinta pada Mac lalu.
Penyanyi berusia 24 itu bahkan bertegas, kekasihnya sudah lama putus tunang sejak mereka mula berkenalan sekitar awal tahun 2023.
“Saya memang sedang bercinta tetapi saya ingin menegaskan bahawa saya tidak merampas hak sesiapa.
“Kenyataan yang mendakwa saya perampas memang tidak tepat kerana saya kenal si dia (Hardee) awal tahun ini dan dia sudah lama putus tunang,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sebelum ini, Hardee merupakan bekas tunangan kepada seorang pempengaruh media sosial iaitu Myra Zainal. Hubungan mereka tidak kesampaian kononnya akibat kehadiran orang ketiga.
Bekas peserta Big Stage musim ketiga itu enggan ambil peduli kisah lalu teman lelakinya itu walaupun sering menjadi bahan bualan netizen dalam laman sosial.
“Sebenarnya apabila jumpa orang baru saya tidak suka ambil tahu mengenai latar belakangnya.
“Saya tidak mahu orang tahu masalah lalu saya kerana manusia dilahirkan berbeza-beza pendapat, rupa dan perangai.
“Namun mulut orang saya tidak boleh tutup pun dan biarkan sahaja apa yang mereka ingin cakap,” ujarnya.
Farisha sebaliknya lebih gemar mengambil pendekatan berbincang dengan si kekasih yang juga seorang usahawan itu bagi meluahkan kebimbangan yang dirasai.
“Apabila orang maklumkan kepada saya mengenai apa-apa yang membuatkan saya berasa pelik, saya akan terus bertanya kepadanya.
“Dia juga akan sertakan bukti yang membuatkan kita memberikan 100 peratus kepercayaan kepadanya,” tuturnya ketika Pelancaran Sumbangan Rahmah Industri Muzik dan Ramah Mesra Artis bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, semalam.
Farisha sebelum ini digosipkan sedang intim bersama pelakon Niezam Zaidi. Spekulasi tersebut tercetus selepas sering memuat naik video momen manis dalam laman sosial.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Alasan Terindah itu menafikan bahawa mereka ada hubungan istimewa. -KOSMO! ONLINE