SABAK BERNAM – Seorang pemuda berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, atas pertuduhan membunuh teman wanitanya yang hamil, minggu lalu.
Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki berusia 20 tahun itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju T kuning mengangguk faham akan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, dia membunuh seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei lalu.
Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Selangor, Ku Hayati Ku Haron memohon tempoh bagi penyediaan dokumen pendakwaan berkaitan lain.
Peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.
Siti Hajar kemudian menetapkan sebutan semula pengurusan kes pada 3 Ogos depan.
Terdahulu, tertuduh yang berpelitup muka itu tiba di mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis, kira-kira pukul 8.55 pagi dengan bangunan Mahkamah Majistret Sungai Besar menjadi tumpuan apabila lebih 20 wartawan dan jurugambar hadir membuat liputan pendakwaan tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya. -KOSMO!ONLINE