fbpx

65 tahun, TUDM tekad pertahan kedaulatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan

PETALING JAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggariskan lima peranan utama bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara daripada sebarang ancaman.

Lima peranan tersebut adalah Intelligence and Situational Awareness, Air and Space Control, Force Application, Force Enhancement, dan Force Sustainment.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, peranan yang dimainkan TUDM ini adalah sejajar dengan ciri-ciri pasukan masa depan seperti yang digambarkan dalam Kertas Putih Pertahanan dan CAP 55.

Jelasnya, strategi  ini membolehkan TUDM mengoptimumkan keupayaannya untuk memenuhi jangkaan negara dan bertindak balas
dengan berkesan kepada persekitaran strategik masa kini dan masa hadapan.

Tambah beliau, TUDM  telah melaksanakan beberapa dasar strategik dan rancangan pembangunan bagi memastikan penggunaan sumber digunakan secara optimum.

Pada masa sama kata Mohd Asghar, TUDM akan terus komited dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti diplomasi pertahanan dengan negara rakan kerjasama pertahanan.

“Langkah ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antarabangsa dan menyokong strategi pertahanan negara seperti yang dinyatakan di dalam Kertas Putih Pertahanan yang mana
Malaysia perlu mengambil bahagian dalam memupuk perkongsian sumber serantau.

“Dalam aspek misi bantuan kemanusiaan pula, TUDM menjadi antara peneraju misi bantuan kemanusiaan dan bencana di rantau ini hasil keupayaan pesawat angkut taktikal dan strategik yang dimiliki TUDM.

Dalam pada itu, mengulas mengenai operasi bersama tiga negara iaitu Tri-lateral Air Patrol (TAP), beliau berkata, buat masa ini hanya melibatkan negara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“TUDM  terlibat secara langsung di dalam menyumbang ke arah usaha keamanan sejagat dengan negara-negara ASEAN yang terlibat dengan melaksanakan rondaan udara di kawasan operasi di Laut Sulu.

“Malaysia juga telah melaksanakan tanggungjawab pertama di dalam operasi ini dengan TUDM mengaturgerak pesawat C130 H dari No 14 Skuadron pada tahun 2017 setelah operasi ini dilancarkan oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein,”ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai tema sambutan pada tahun ini, Mohd. Asghar berkata ia bertemakan “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara” yang mempunyai kekuatan yang ketara dan mencerminkan prinsip teras dan aspirasi.

Kata beliau, tema ini menyerlahkan komitmen TUDM untuk mengoptimumkan struktur organisasinya.

“TUDM telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan menghadapi pelbagai cabaran sepanjang sejarah 65 tahunnya, adalah penting bagi TUDM untuk terus berkembang dan meningkatkan keupayaannya.

“Dengan mengekalkan tentera udara yang moden, bersepadu, tangkas dan fokus, TUDM berhasrat untuk mencapai potensi sepenuhnya dalam menjaga ruang udara, kedaulatan dan integriti wilayah negara,” jelasnya.

Beliau menambah, tema itu juga melambangkan pengiktirafan TUDM terhadap cabaran keselamatan maritim serantau di Asia Tenggara.

“Sebagai sebuah tentera udara yang beroperasi di rantau yang dinamik dan pelbagai ini, TUDM memahami kepentingan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap keselamatan.

“Melalui tema ini juga, TUDM menunjukkan komitmennya untuk menyumbang secara aktif kepada usaha keselamatan serantau dan bekerjasama dengan negara jiran untuk menangani ancaman bersama,”katanya.

Tambahan pula jelas Mohd Asghar, tema yang dipilih mencerminkan pendekatan dan aspirasi TUDM yang berpandangan ke hadapan untuk peperangan masa hadapan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI