fbpx

Rangka manusia prasejarah, artifak dijumpai di Lembah Nenggiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rangka manusia prasejarah yang ditemui di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri dekat Gua Musang. FOTO IHSAN MOTAC

KOTA BHARU – Kumpulan penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri dekat Gua Musang.

Kesemua artifak itu dijumpai semasa kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Felo Kanan Atma, Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli semasa menjalankan kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berkata, penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Keledung Kecil merupakan antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara.

Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkait amalan pengebumian dan evolusi sosiobudaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri.

“Rangka manusia tersebut berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya. Kedudukan itu merupakan posisi yang hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung.

“Selain itu, rangka tersebut adalah asosiasi artifak yang berada di sekelilingnya yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur. Tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memberitahu, alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan rangka itu turut ditemui antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh.

Katanya, kesemua barangan itu diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah.

“Cara pengebumian rangka manusia prasejarah itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun yang lalu. Sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik.

“Sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah itu akan dibawa keluar dari Gua Keledung Kecil dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh,” ujarnya.

Menurutnya, Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Kelantan akan memastikan penemuan ini dapat dijadikan rujukan sejarah, warisan negara dan dapat dikongsikan juga kepada orang ramai.

“Sebuah galeri mini akan dibangunkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran dengan Empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuk rangka yang dijumpai di Gua Keledung Kecil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI