HULU KELANG – Cuti sekolah yang bermula Sabtu lalu menyaksikan banyak lokasi menjadi tumpuan ibu bapa menghabiskan masa bersama anak-anak.
Selain Pusat Sains Negara, salah satu lokasi pilihan orang ramai adalah Zoo Negara biarpun ketika ini cuaca panas.
Seorang pengunjung, Aida Hidayah Nasrun, 32, berkata, dia teruja berpeluang membawa anaknya berusia dua tahun berkunjung ke Zoo Negara selepas beberapa kali tertangguh.
“Kali terakhir saya pergi ke sini 10 tahun lalu. Anak saya sangat seronok kerana dia memang suka binatang terutamanya harimau, singa dan badak air.
“Kunjungan saya hari ini ibarat rezeki datang bergolek apabila dapat masuk secara percuma kerana Zoo menawarkan tiket percuma kepada mereka yang datang pada bulan kelahiran,” ujarnya.
Tambahnya, dia dan keluarga mengambil masa lima jam mengelilingi Zoo Negara dan paling menarik melihat panda.
Seorang lagi pengunjung R. Aishwarya, 35, memberitahu, dia telah menempah tiket secara dalam talian seminggu sebelum cuti sekolah bermula lagi.
“Saya rasa inilah masa sesuai bersama keluarga. Kita telah penat dengan urusan kerja dan sekolah sebelum ini dan perlukan masa untuk berhibur di samping menambah ilmu pengetahuan.
“Biarpun cuaca panas, saya pastikan anak-anak kekal bertenaga dan tempoh lima jam di dalam zoo tidak terasa kerana semuanya terhibur,” ujarnya.
Sementara itu, seorang kakitangan Zoo Negara, Shafirul Rudi, 25, memberitahu, pihaknya tidak putus menerima kunjungan sejak Jumaat lalu susulan cuti sekolah dengan waktu kemuncak di antara pukul 9 hingga 11 pagi.
“Keadaan akan sedikit lengang apabila pukul 11.30 hingga 12.30 tengah hari. Bermula pukul 11 hingga 3 petang, pengunjung akan disajikan dengan ‘live show’ dan ini program yang menjadi tarikan dan dinantikan semua.
“Tawaran tiket percuma pada mereka yang datang pada bulan kelahiran antara tarikan orang ramai memilih Zoo Negara pada cuti kali ini,” ujarnya.