JEMPOL – Seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui mati oleh orang awam dalam longkang di Pasar Mini Five Taman Cempaka di Bahau, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.15 pagi.
“Pada badan lelaki itu terdapat tali warna oren dan pihak polis menjumpai beg silang serta botol kecil berisi cecair merah dipercayai metadon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, hasil temubual seorang saksi yang juga kenalan si mati memaklumkan, mangsa ada meninggalkan motosikalnya di hadapan sebuah kedai motosikal milik saksi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut pada motosikal itu menjumpai nota bertulis ‘Ah Wa, tolong tengok saya, saya ada di bawah sungai’ dalam tulisan Cina yang telah diterjemah oleh saksi dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE