PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Amman, Jordan untuk lawatan khas selama empat hari bermula semalam.
Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman pada pukul 4.30 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia) semalam.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pelancongan Jordan, Makram Queisi, Datuk Bandar Amman Yousef Shawarbeh dan Duta Malaysia ke Jordan, Mohamad Nasri Abd Rahman.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berangkat paduka-paduka anakanda Baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah serta Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Jelas Istana Negara, lawatan khas itu adalah atas persilaan Raja Jordan, Raja Abdullah II dan kedua-dua pemimpin dijadualkan mengadakan pertemuan di Beit Al Urdun pada jam 1.30 petang waktu tempatan hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan di Zahran Palace esok disusuli dengan keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Al Husseinieh Palace di Amman pada sebelah malam.
“Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan akan turut diserikan dengan kehadiran Kerabat-Kerabat Diraja, para pemimpin dan kenamaan dari seluruh dunia,” katanya dalam hantaran hari ini.
Mengulas lanjut, Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE