SABAK BERNAM – Kerajaan menyasarkan menutup 300 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha penutupan tapak tersebut adalah berterusan bagi mengelakkan ancaman kualiti alam sekitar terutama pada musim panas melanda negara ketika ini.
“Dalam tempoh 100 hari pertama diberikan amanah sebagai menteri, kita melepasi sasaran dengan menutup 128 tapak sampah haram berbanding 100 yang disasarkan sebelumnya.
“Tahun ini sahaja, kita sasar 300 tapak pelupusan sampah haram ditutup khususnya di Selangor kerana banyak kawasan industri. Tiada kompromi berhubung kebersihan serta kualiti alam ini.
“Kita akan memaklumkan status perkembangan apabila kerja siap (jumlah penutupan tapak sampah haram) dalam masa terdekat” katanya pada sidang akhbar hari ini selepas melakukan lawatan kerja sekitar Pekan Sekinchan, hari ini.
Menurut beliau, perbincangan akan dilakukan khususnya dengan kerajaan negeri Selangor mengenai pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi memantapkan strategi mengelakkan pembuangan sampah haram.
Ujarnya, ini terutama melibatkan kontraktor-kontraktor dilantik bagi pembuangan sampah dari industri.
“Ini supaya penyelesaian terbaik (kontraktor haram) dalam mengatasi masalah kronik (tapak sampah haram) yang telah berlarutan lama dan bukannya berlaku (sejak) hari ini,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Kor Ming memberitahu, kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat di tahap tertinggi bagi operasi pemadaman akibat cuaca panas.
“Tahun ini, kementerian telah diberikan peruntukan tambahan khususnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat sebanyak RM46.15 juta bagi membeli peralatan dan perolehan.
“Saya juga meminta orang ramai memberhentikan pembakaran terbuka terutama pada musim panas ini. Jangan sesekali menjadikan keadaan lebih teruk kerana pembakaran terbuka adalah satu kesalahan yang boleh dihukum penjara dan kompaun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE