PETALING JAYA – Kegagalan menghadiri rawatan susulan fisioterapi selepas pembedahan tulang belakang akibat penyakit scoliosis enam bulan lalu menyebabkan penyanyi popular Zamani Slam kembali berdepan masalah kesihatan bahagian belakang badannya.
Mengakui salah sendiri, Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 53, menjelaskan kepadatan aktiviti memenuhi tawatran persembahan menyebabkan dia tidak dapat memenuhi rawatan mengikut jadual ditetapkan doktor.
“Salah saya sendiri yang tidak pergi ke rawatan fisioterapi. Saya hanya sempat lakukan fisioterapi selama sebulan setengah sahaja selepas pembedahan kemudian saya berenti kerana sibuk bekerja.
“Walhal rawatan ini harus dilakukan sehinggalah saya pulih sepenuhnya. Sekarang, saya mula terasa sakit pada bahagian belakang badan,” ujarnya yang ditemui pada majlis sidang media Konsert Kasih Pengasih 2023 di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, Zamani mendedahkan meskipun tahap kesihatannya ada naik turun tetapi secara keseluruhannya doktor memberitahu keadaannya semakin baik, malah dia bakal menerima rawatan susulan sekitar dua minggu lagi.
Pelantun Gerimis Mengundang iti bagaimanapun lega apabila disahkan doktor bahawa masalah tulang bengkok yang dialaminya dahulu tidak berisiko untuk kembali berulang jika kesihatan dijaga dengan baik.
“Doktor kata progress saya okey semakin baik. Jika bedah cakera (disc) boleh terjadi semula, tetapi pembedahan seperti saya yang masukkan besi sukar untuk berulang kembali, kemungkinannya agak kecil kecuali kalau saya tidak menjaga kesihatan dengan baik.
“Selepas pembedahan masih banyak pantang larang yang harus saya ikuti antaranya tidak boleh terlalu lasak dan mengangkat barang berat. Sehingga kini, saya masih belum boleh duduk bersila di atas lantai, solat pun saya harus menggunakan kerusi,” tutur Zamani.
Sambung Zamani, dia tidak bimbang akan perbelanjaan yang harus digunakan untuk rawatan susulan kerana dana bantuan yang diterima sebanyak RM125,000 sebelum ini masih berbaki.
“Dana bantuan masih ada separuh dan memang saya langsung tidak sentuh wang itu melainkan tujuan rawatan sahaja. Amanah orang, jadi saya hanya gunakan untuk tujuan perubatan sahaja,” tutur Zamani yang kini telah bertambah berat badan ke 43 kilogram berbanding hanya 37 kilogram sebelum pembedahan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Zamani bakal tampil dengan persembahan di Konsert Kasih Pengasih 2023 yang akan diadakan di Auditorium RTM Kuantan, Pahang pada 1 Julai depan.
Selain Zamani, konsert yang diadakan bagi mengutip dana Pengasih turut dibarisi penyanyi terkenal seperti, Ameng Spring, Amir Ukay’s dan kumpulan Iklim. Tiket berharga RM58 sehingga RM3,500 telah mula dijual dan boleh didapati menerusi laman web, https://ilassotickets.com.