RAWANG – Seorang lelaki terpaksa menahan sakit lebih 20 minit akibat tersepit di bahagian pemandu setelah terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Rawang, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Khairul Anuar Abdullah, 32, mengalami cedera parah dan patah kedua-dua belah kaki dihantar ke Hospital Selayang setelah dikeluarkan oleh pihak Bomba.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 5.23 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota bersama jentera Balai Bomba dan Penyelamat Rawang tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.32 pagi.
“Setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah lori satu tan dipandu mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lori treler di persimpangan lampu isyarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, akibat kemalangan tersebut, mangsa tersepit di bahagian pemandu dan dikeluarkan oleh pasukan bomba dalam tempoh 20 minit menggunakan peralatan khas.
Ujarnya, mangsa yang mengalami cedera parah parah dan kedua-dua belah kaki seterusnya dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE