KOTA BHARU – Seorang wanita ditahan reman selama enam hari selepas dipercayai menetak lengan kanan suaminya menggunakan pisau pemotong daging di rumah mereka di Pengkalan Chepa, di sini petang kelmarin.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 4 Jun depan terhadap wanita berusia 30 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohammad Fitri Mokhtar di Mahkamah Majistret, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan kes mendatangkan cedera parah dengan senjata.
Menurutnya, berdasarkan keterangan bapa mangsa, lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai ditetak oleh isterinya menggunakan pisau pemotong daging.
“Bertindak atas laporan yang diterima, suspek ditangkap di rumahnya di Pengkalan Chepa di sini kira-kira 3 petang semalam.
“Ujian saringan air kencing mendapati, suspek negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE