fbpx

Sanggup belanja besar, tidur hotel sebab nak beli buku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua orang pengunjung dari (kiri) Wan Najah Amni, Nabihatul Huda (kanan), menunjukkan buku yang dibeli semasa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.

PETALING JAYA – Para pengemar buku gembira dengan penga­njuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-40 apabila sanggup berbelanja ratusan ringgit demi untuk mendapatkan buku yang dihajati.

Tinjauan Kosmo! di WTC mendapati, orang ramai datang sejak awal pagi untuk mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan.

Penganjuran acara tahunan itu akan berlangsung sehingga 4 Jun ini sempena cuti sekolah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Seorang pengunjung, Wan Najah Amni, 22, berkata, dia sanggup menaiki kereta api dari Nilai, Negeri Sembilan, seawal pukul 8 pagi bagi menghadiri pesta itu.

“Saya dan kawan memang tidak akan melepaskan peluang seperti ini untuk mendapatkan buku-buku yang berkualiti.

“Setakat ini, kami sudah ber­belanja sebanyak hampir RM500 dalam tempoh satu jam kami di sini,” katanya.

Jelasnya, mereka sanggup datang dari jauh bagi merebut peluang membeli buku dengan potongan harga yang sangat murah dan tidak masuk akal.

Turut tidak melepaskan peluang, seorang pustakawan dari Put­rajaya, Salina Ariffin, 44, yang menyatakan dia dan rakan sekerja sudah habiskan sehingga RM600 pada pesta buku tahun ini.

“Hari ini saya dan rakan-rakan sudah berbelanja hampir RM600 disebabkan harga yang ditawarkan sangat berbaloi berban­ding di kedai buku biasa.

“Contoh macam buku yang saya beli hari ini, buku kulit keras sebelum pesta buku adalah RM30, bila sudah dapat diskaun, harga turun sehingga RM10, ia sangat berbaloi,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­ngurus jualan, Ahmad Safarudin Yusof, 47, berkata, dia juga turut menerima pelanggan dari Sabah dan Sarawak yang sanggup menginap di hotel demi ke pesta buku semalam.

Tambahnya, dia berbangga melihat ibu bapa sanggup ber­belanja banyak untuk membeli buku-buku pendidikan demi masa depan anak-anak mereka.

“Ramai lagi orang kita beli buku sekarang ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI