BEIJING – Seorang wanita berusia 40 tahun di China nekad berhenti kerja untuk menjadi ‘anak perempuan sepanjang masa’ dengan gaji 4,000 yuan (RM2,601) sebulan, lapor laman berita Wion News semalam.
Selepas bekerja di sebuah agensi berita selama 15 tahun, Nianan menghadapi cabaran lebih besar seperti tekanan secara berterusan.
Melihat Nianan bergelut di tempat kerja, ibu bapanya berkata: “Mengapa kamu tidak berhenti kerja sahaja?”
Ibu bapa Nianan menawarkan bayaran 4,000 yuan (RM2,601) sebulan yang diambil daripada wang pencen bulanan mereka berjumlah 10,000 yuan (RM6,504).
Dia kemudian memutuskan untuk meninggalkan pekerjaan itu dan mengambil tanggung jawab menjadi ‘anak perempuan sepenuh masa’.
Nianan menggambarkan jawatan baharu itu dipenuhi dengan kasih sayang sepanjang masa.
Dia meluangkan masa satu jam sehari untuk menari bersama ibu bapanya dan menemani mereka membeli-belah. Pada waktu malam, dia akan memasak makan malam bersama bapanya.
Dia juga menguruskan semua peranti elektronik, memandu kereta dan mencadangkan satu atau dua percutian keluarga pada setiap bulan. – Agensi