PENGANJUR Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, Mission Sight Sdn. Bhd. bersedia dengan sebarang kemungkinan andai persembahan mega membabitkan gabungan penyanyi Malaysia dan Indonesia tersebut dipolitikkan pihak tertentu.
Pengarah Projek, Riezman Khuzaimi berkata, hakikatnya persembahan mega tersebut dapat mengembangkan industri pelancongan negara, sekali gus menjadi kaedah pemasaran baharu bagi menyemarakkan arena muzik tempatan.
“Kita tidak nafikan tercetus kemungkinan ada pihak kurang senang dengan konsert dangdut ini dan berkemungkinan mendapat bantahan mahu pun kecaman.
“Sebagai penganjur, kami cukup peka untuk mengikuti segala garis panduan terutama kepada artis yang tentu saja difahami mereka. Kita minta artis mengenakan pakaian sopan.
“Selain itu, saya akan meningkatkan kawalan keselamatan. Jika semuanya dipatuhi, tidak adil penggiat seni dihalang menghibur kerana negara kita mengamalkan demokrasi.
“Konsert Goyang Asia Koplo Milenia ini juga sebahagian daripada produk pelancongan muzik yang wajar disokong,” katanya selepas pelancaran konsert berkenaan, baru-baru ini.
Dijadualkan berlangsung selama tiga jam, Pusat Ekuestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur bakal menjadi lokasi Konsert Goyang Asia Koplo Milenia pada 12 Ogos depan.
Selain pejuang irama dangdut tempatan, Ani Mayuni dan Baby Shima, acara besar tersebut turut menampilkan penyanyi popular Indonesia, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek Klepek dan Rhena Morena.
Mengulas lanjut, Riezman terpanggil untuk terbabit dalam penganjuran acara konsert selepas melihat banyak persembahan mega membabitkan artis tempatan dan antarabangsa diadakan selepas pandemik Covid-19.
Tambah pelakon dan penerbit drama itu, konsert yang julung kali diadakan syarikatnya turut membawa misi mengintegrasikan dangdut ke dalam masyarakat moden dan industri muzik tanah air.
“Kami mahu mengukuhkan semula genre dangdut ke dalam pasaran semasa kerana dangdut tidak sepatutnya dijadikan muzik untuk orang tertentu sahaja tetapi boleh dinikmati semua.
“Lihat sahaja pada zaman kegemilangan Amelina dan Mas Idayu, lagu mereka dinikmati dan diterima semua,” katanya yang turut mengundang dua artis senior serta Ramlah Ram hadir pada malam konsert kelak.
Konsert yang bakal menampilkan pengacara, Didie Alias sebagai hos bersama Shandrra Rose dari Indonesia tersebut menawarkan harga tiket antara RM158 hingga RM658.
Penjualan tiket di zon duduk bermula dengan harga di RM658 (VIP), RM598 (Power), RM458 (Zon A), RM398 (Zon B), manakala zon berdiri RM358 (Zon C), RM258 (Zon D), RM158 (Zon E dan F). Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.ticket2u.com.