fbpx

Peniaga lemang pukul pelanggan didenda RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku salah memukul seorang pelanggan menggunakan buluh lemang di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Tindakan seorang peniaga lemang memukul seorang pelanggannya gara-gara berang dituduh menjual juadah mentah akhirnya memakan diri apabila diperintah untuk membayar denda sebanyak RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Syamudin Salleh, 41, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Shamuddin Jaamat, 62, kira-kira pukul 8 malam di gerai lemang Pak Din, Jalan Bukit Beruang dalam daerah Melaka Tengah pada 21 April 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatannya, selain mengakui tindakan itu didorong oleh perasaan marah apabila mangsa mencetuskan provokasi menuduhnya menjual lemang mentah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira faktor mangsa yang merupakan warga emas telah mengalami kecederaan pada tangan dan telinga kirinya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM500 atau penjara dua bulan jika gagal berbuat demikian. Tertuduh kemudian membuat bayaran tersebut.

Kosmo! pada 23 April lalu melaporkan polis menahan seorang peniaga lemang yang tular klip videonya memukul pelanggan menggunakan buluh sehingga menyebabkan kecederaan selepas berang didakwa menjual lemang mentah.

Hasil soal siasat pihak polis mendapati, kejadian berlaku selepas mangsa yang merupakan pesara tentera berusia 62 tahun dikatakan telah membeli lemang di kedai suspek untuk dijadikan juadah berbuka, namun mendapati ia masih mentah setelah dibawa pulang.

Mangsa telah pergi semula ke gerai terbabit untuk menukar lemang yang dibawanya di dalam bekas, tetapi peniaga tersebut dikatakan enggan melihat dan berlaku pertengkaran mulut sebelum suspek bertindak memukul mangsa menggunakan buluh lemang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI