LONDON – Fernando Alonso menegaskan bahawa dia tidak akan berputus asa dengan peluangnya untuk memburu gelaran dunia Formula Satu (F1) musim ini meskipun tidak memiliki jentera terbaik terutama untuk mengejar Red Bull.
Pelumba Aston Martin tersebut berkata, dia mengambil inspirasi pada 2010 dan 2012 ketika bersaing hebat memburu gelaran bersama pasukan Scuderia Ferrari meskipun tidak memiliki jentera terbaik.
Walaupun ketika ini Aston Martin tidak berada dalam rentak terbaik untuk mengejar Red Bull, Alonso mengakui peluangnya tetap ada dan hanya menanti kesilapan juara dunia musim lalu, Max Verstappen.
“Perlumbaan masih panjang, kami tidak akan berputus asa untuk terus mengejar Red Bull. Kami memerlukan hujung minggu di mana Red Bull mempunyai beberapa masalah seperti Sergio Perez di sini yang gagal menamatkan perlumbaan.
“Jika Verstappen berdepan masalah dalam satu atau dua perlumbaan, pastinya kami akan menjadi lebih dekat untuk memburu kejuaraan. Ini sukan permotoran, apa sahaja boleh berlaku.
“Kami belum ada peluang lagi, tetapi kami tidak akan berputus asa,” kata Alonso.
Selepas lima pusingan perlumbaan musim ini, Alonso tampil dengan pemanduan cemerlangnya apabila berada di kedudukan ketiga dan hanya dipisahkan 51 mata di belakang juara dunia musim lalu, Verstappen dan 12 mata di belakang Sergio Perez.
Verstappen melakar kemenangan di Grand Prix Monaco pada Ahad lalu dan Alonso yang cuba mengejar sekadar mampu mencari penamat kedua Ahad lalu, sementara pelumba pasukan Alpine, Esteban Ocon melakukan kejutan berada di podium tempat ketiga. – AGENSI