fbpx

Bola akan hapuskan subsidi petrol di Nigeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOLA melambai ke arah orang ramai ketika diarak di atas kenderaan semasa majlis pertamanya di Eagle Square, Abuja, kelmarin. – AFP

ABUJA, NIGERIA – Presiden Nigeria yang baru dipilih, Bola Ahmed Tinubu mengumumkan pemansuhan subsidi bahan api termasuk petrol dan diesel bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

“Subsidi bahan api (akan) dihapuskan,” kata beliau dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden Nigeria di Abuja.

Tinubu memenangi pilihan raya yang sengit itu dengan berjanji untuk menghidupkan semula harapan rakyat, namun beliau berdepan cabaran ekonomi dan keselamatan yang getir.

Tidak dijelaskan bila dasar baharu itu akan bermula, namun menghapuskan subsidi bahan api akan mendorong kenaikan harga petrol yang akan memberi kesan besar terhadap harga barangan keperluan lain.

Kerajaan Nigeria yang terdahulu telah cuba tetapi gagal berbuat demikian. Subsidi bahan api mula diperkenalkan di Nigeria dalam tahun 1970-an.

Meskipun kaya dengan hasil minyak, Nigeria tidak dapat menapis minyak mentah mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan sehingga terpaksa mengimport produk petroleum. Ia kemudian dijual pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Tinubu, 71, mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Muhammadu Buhari, yang berundur pada penghujung dua penggalnya. Tinubu memenangi pilihan raya pada Februari lalu dengan mendapat 37 peratus undi.

Beliau kini menghadapi tekanan untuk menangani krisis ekonomi Nigeria dengan inflasi berada pada kadar tertinggi selama hampir 18 tahun.

Satu dalam tiga penduduknya menganggur selain pengeluaran  industri minyak Nigeria semakin mengecil. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI