KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Datuk Adflin Shauki akan memperincikan status perkahwinan ‘terbaharunya’ sekitar Ogos depan.
Afdlin atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan, 52, memberi gambaran bahawa bulan Ogos adalah momen penting dalam kehidupannya yang perlu dikongsikan kepada orang ramai.
“Insya-Allah bulan Ogos ini saya akan cerita. Saya cerita apa yang berlaku.
“Bulan Ogos itu penting. Saya akan kongsi tentang status (terkini) saya. Saya punya cerita peribadi tak seronok pun orang dengar,” ujar Afdlin sedikit berseloroh ketika ditemui Kosmo! Online pada sesi Townhall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem di Rex KL, di sini, malam tadi.
Ujar Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia 2009 itu lagi, dia malas mengambil pusing apabila ada pihak yang memandai-mandai memberi pengesahan dirinya sudah berkahwin kali kedua.
“Ada orang nak panggil dia Datin ke apa, ikut suka merekalah.
“Biarkan sahajalah mereka nak panggil (pasangan saya) Datin. Saya dah biasa hidup dengan netizen. Dah kena kecam macam-macam.
“Saya dah belajar satu sahaja: kita diam. Saya tak kongsi sekarang sebab belum masa lagi. Pada masa sama, saya menghormati perasaan bekas isteri. Saya dan dia okey sahaja.
“Tiada masalah. Saya beritahunya perancangan saya, dia okey dan tiada masalah. Kalau kalian tengok, gambar dengan keluarga daripada dulu saya tak kongsi di media sosial. Jarang keluar. kalau ada pun, sekali sekala lalu,” katanya.
Afdlin bercerai dengan bekas isteri, Maria Christina Orow Abdullah tahun lalu selepas 25 tahun perkahwinan. – KOSMO! ONLINE