fbpx

Warden tahfiz didakwa pijak perut, tumbuk muka pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan dengan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang warden sebuah pusat tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memijak perut dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera sejak Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut dua pertuduhan di hadapan Darmafikri, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun satu 11 bulan telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya.

Mangsa telah ditampar serta ditumbuk pada bahagian pipi, ditendang pada perut dan dipijak pada dada, manakala seorang lagi mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah guru sebuah pusat tahfiz dalam daerah Melaka Tengah pada 7 dan 8 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum tidak melebihi RM50,000 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama 31(2) akta sama.

Tertuduh turut dihadapkan dengan tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen sama di hadapan Hakim Mohd. Sabri melibatkan dua pelajarnya yang ketika kejadian berusia 15 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya dengan cara menampar pipi dan memukul badan sebelah kiri mangsa menggunakan rotan buluh, manakala seorang lagi dipijak di bahagian perutnya.

Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei lalu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa dan dikhuatiri tertuduh yang merupakan warga Singapura akan pulang ke negara asalnya dalam tempoh prosiding.

Peguam Faathir Imran bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan dengan alasan pusat tahfiz tersebut sudah pun ditutup dan para pelajar telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Kedua-dua pihak penghakiman kemudian memutuskan untuk tidak memberikan jaminan dan menetapkan tarikh 26 Jun depan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI