fbpx

Tiada parti dalam kalangan kami percaya kepada Pas – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, tiada parti dalam kalangan Kerajaan Perpaduan yang percaya kepada Pas.

Pada masa sama, Presiden UMNO itu berkata, beliau juga sudah serik dengan parti itu.

“Secara peribadi, saya serik dengan parti berkenaan kerana mereka telah berkahwin secara mutaah, dalam politik ertinya kahwin (secara) sementara.

“Setakat ini, tiada parti dalam kalangan kami (Kerajaan Perpaduan) percaya kepada mereka (Pas) sebab mereka tidak mengotakan janji, ikrar dan piagam (Muafakat Nasional) yang dipersetujukan bersama,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa tiada sebarang langkah atau gerakan daripada kerajaan yang menawarkan parti itu untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam kalangan 19 pemimpin parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.

“Tidak juga pernah dibincangkan di kalangan pengerusi gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, jika ada pun yang mendakwa kononnya bertemu dengan pemimpin atau pun lapisan kepimpinan parti berkenaan, itu kami tidak anggap sebagai perjumpaan rasmi dan tidak ada satu gerakan pun dibuat ke arah itu,” ujarnya.

Katanya lagi, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mementingkan kewujudan kestabilan politik, namun masih meraikan perbezaan pendapat dan pendirian.

“Yang penting adalah mereka harus memperlihatkan menerusi perbahasan di Dewan Rakyat atau perbahasan ketika akta tertentu dibentangkan atau di dalam sidang akan datang sewaktu pembentangan kajian separuh penggal RMK-12 atau ketika pembentangan bajet pada Oktober ini, buktikannya dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI