PUTRAJAYA – Tiga naskhah e-buku hasil tulisan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri akan dicetak secara meluas bagi memberi peluang kepada kelompok B40 menjana pendapatan sampingan.
E-buku berkenaan adalah Inilah Doaku, Soal Jawab Fiqh COVID-19 dan COVID-19 Fiqh Q&A.
Menerusi kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini, pihaknya sudah mendapat keizinan daripada Dr Zulkifli selepas perbincangan dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, mana-mana pihak yang mahu mencetak e-buku itu perlu memaklumkan permohonan secara bertulis sebelum mencetak, melalui emel [email protected].
“Hal ini bagi memastikan tidak ada sebarang ubahsuai dilakukan pada e-buku berkenaan, disamping ia dapat disebarkan seluas mungkin dengan harga yang amat minima.
“Kami menyedari sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan masyarakat, di samping beberapa permohonan untuk mencetak e-buku ini bagi tujuan pendapatan sampingan terutamanya bagi kelompok B40 yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya, pihaknya tidak akan meminta atau menerima apa jua hasil daripada keuntungan jualan tersebut.
Menurutnya, syarat permohonan mencetak itu adalah sekadar makluman untuk tujuan rekod dan bagi memastikan segala cetakan yang dibuat adalah di dalam pengetahuan pihaknya.
“Sebelum ini, tiga e-buku itu hanya dicatak dalam jumlah terhad sebagai naskhah hadiah untuk diagihkan secara percuma dan tidak pernah menerbitkan naskhah tersebut untuk tujuan komersial.
“Malah, setiap naskhah buku yang diterbitkan oleh pihak Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, termaktub di dalamnya ayat peringatan iaitu tidak dibenar cetak kecuali mendapat keizinan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.
Katanya, pihaknya berharap penerbitan buku itu kelak dalam membantu usaha Kempen Kesedaran Covid-19 oleh kerajaan Malaysia selain memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya. – K! ONLINE